[ Berita Terkini ]
Kerajaan Selangor Sediakan RM100 Bantuan Taska Pada Keluarga Miskin
Posting pada:  2012/5/7 13:00:00 ( 1472 kali di baca )

SHAH ALAM 7 MEI : Bagi berjuta-juta ibu seperti perkerja kantin Umi Kalsum Harun, tekanan kos hidup yang semakin meningkat menjadi kekuatiran yang terpaksa dihadapi setiap bulan dengan suami.


Akan tetapi beban mereka diringankan apabila mereka dipilih untuk menyertai program Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Sikembar) Kerajaan Selangor.

Umi Kalsum, 36, adalah antara peserta pertama ke dalam program Sikembar yang memperuntukan RM100 bagi menghantar seorang anak ke Taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Suami bekerja di kilang. Kami mempunyai tiga orang anak. Gaji kami tidak banyak dan dalam masa yang sama kami sibuk bekerja jadi memang akan menghantar anak ke taska.

“Jadi bantuan ini sekurang-kurangnya meringankan beban perbelanjaan yang kami tanggung,” katanya yang merupakan ibu kepada Mohd Izuan Shafiq, sembilan bulan yang menerima bantuan itu.

Setiap kanak-kanak dari keluarga yang layak akan menerima RM100 setiap bulan untuk kos menghantar anak ke Taska. Duit itu akan dibayar terus kepada Taska yang terbabit di dalam program itu di Selangor.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk bantuan itu bagi tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan seramai 2,500 anak-anak akan menerima manfaat itu untuk tahun pertama.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama JKM sedang giat mengenal pasti tempat penjagaan sama ada berbentuk di rumah atau institusi yang berdaftar.

“Kami akan mengemas kini lesen mereka bagi mengenal pasti taska yang layak menyertai program ini

“Dalam masa yang sama taska terbabit dapat menambah pendapatan mereka sekiranya ramai anak-anak yang mendapat bantuan ini untuk dihantar ke taska itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran program itu di sini semalam.


Tambah Rodziah, bantuan itu diberikan kepada tiga kategori iaitu ibubapa yang berpendapatan rendah, ibu tunggal dan bapa tunggal yang bekerja.

“Bagi pendapatan rendah, ia melibatkan RM1,500 ke bawah yang menanggung satu hingga tiga orang anak, RM2,500 ke bawah yang menanggung empat hingga lima orang anak serta RM3,000 ke bawah yang menanggung anak melebihi enam orang,” katanya.

Setiap keluarga terhad kepada dua orang anak yang berumur bawah 4 tahun 11 bulan.

Setakat ini, sebanyak 25,000 keluarga dikenal pasti layak menerima skim bantuan itu.

Diharapkan program bantuan itu dapat menolong mengeluarkan keluarga dari paras kemiskinan.

Seorang lagi penerima, Abadi Mohd Said, 30, berkata beliau bersyukur menjadi rakyat Selangor kerana kerajaan negeri menyediakan banyak bantuan bagi meringankan bebannya.

Walaupun anaknya, Muhammad Adam Haikal, lima bulan, merupakan anak pertama, tetapi beban kewangan yang ditanggung beliau dan isteri juga dirasai berikutan kos hidup yang semakin tinggi.

“Dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak membantu keluarga saya,” kata pembantu tadbir itu ketika ditemui.

BY NORHAYATI UMOR – MAY 7, 2012 (selangorku.com)
Share |





Program IPR - Sikembar

Menu Utama

Pautan

img_180794f94ddcb5f339.png
img_288934f94e21787371.png
img_59514f94e8a573389.png